Formasi Part I: 4-4-2

Bola sepak secara amnya dimainkan oleh 11 orang sepasukan dan menjadikan 22 orang di atas padang dengan matlamat menjaringkan sebiji bola ke pintu gol pihak lawan. Ada juga permainan bolas sepak 9 sebelah atau 7 sebelah atau futsal yang dimainkan 5 orang sepasukan. Malah aku selalu juga bermain bola sepak dalam berbelas-belas orang sepasukan. Walau berapa orang sepasukan sekalipun, matlamat permainan adalah sama. Matlamat untuk menajamkan skil, untuk mencari stamina dan sekadar latihan berpasukan adalah matlamat sampingan.

Oleh itu tak dapat dinafikan selain skil atau kemahiran satu-satu pemain, penerapan formasi yang bersesuaian mengikut situasi permainan adalah amat penting bagi satu-satu pasukan. Formasi menunjukkan ketersusunan satu-satu permainan. Dengan adanya formasi, para pemain lebih fokus dan tahu mengenai tugas masing-masing.

Formasi yang selalu digunakan oleh kebanyakan pasukan dalam permainan 11 sepasukan adalah 4-4-2. Formasi ini lebih seimbang, fleksibel dan mudah difahami oleh pemain.

Terdapat banyak variasi dalam formasi 4-4-2 yang sering digunakan oleh jurulatih bergantung kepada situasi permainan, keupayaan seseorang pemain dan taktik yang dirancang. Formasi 4-4-2 adalah merujuk kepada formasi 4 orang pemain pertahanan, 4 orang pemain tengah dan 2 orang penyerang.

Barisan pertahanan dalam formasi 4-4-2 boleh dimainkan samada secara flat ataupun menggunakan sistem sweeper dan stopper di bahagian tengah. Jika pertahanan tengah dimainkan secara flat, 2 orang pertahanan tengah selalunya mempunyai fungsi yang sama. Manakala stopper akan bermain di hadapan sweeper yang akan bertindak sebagai orang terakhir. Tugas seorang stopper adalah membuat marking dan mengawal top striker dari mendapat bola yang dihantar kepadanya. Jika sekiranya stopper terlepas atau bila bola dihantar secara through ball melepasi stopper, sweeper akan bertindak mengawal situasi tersebut dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya apabila perlu.

Sweeper dan stopper atau 2 pertahanan tengah tidak akan naik ke bahagian atas dalam situasi menyerang. Mereka akan berlegar di kawasan tengah padang sekadar memberi sokongan kepada pemain tengah dan menutup ruang yang terlalu luas yang ditinggalkan oleh pemain tengah semasa mereka membina serangan. Jika berlaku situasi serangan balas yang pantas, seberapa boleh mereka akan bertindak merapati penyerang lawan, membuat tackle jika perlu sambil menunggu rakan lain untuk turun ke bawah dan bertahan.

Oleh itu, seorang sweeper atau pertahanan tengah bukan saja mempunyai kebolehan untuk membuat tackle, malah dia juga mestilah mempunyai sedikit kepantasan bagi menyeimbangi kepantasan pemain penyerang lawan. Ciri lain yang perlu ada dalam pemain pertahanan tengah atau sweeper adalah, berbadan tegap, mempunyai ketinggian, kebolehan untuk menanduk bola atau mengawal bola tinggi, bijak membaca permainan, ketenangan mengawal bola, cekap membuat tackle bersih dan berkebolehan membuat marking ke atas pemain penyerang lawan.

Posisi ini biasanya diisi oleh pemain yang agak berumur kerana kematangannya, namun era bola sepak moden menunjukkan bahawa terdapat semakin ramai pemain pertahanan tengah dari kalangan pemain muda seperti Phillip Senderos dari pasukan Switzerland dan Micah Richards dari pasukan England.

Posisi pertahanan kanan dan kiri pula biasanya dimainkan oleh pemain yang mempunyai kepantasan dan sanggup bekerja keras. Ini kerana pemain pertahanan kanan dan kiri biasanya turut membantu serangan dengan membuat larian overlapping naik ke atas dan apabila pasukan mereka diserang, mereka perlu turun ke bawah dengan cepat untuk bertahan. Oleh itu pemain pertahanan kanan dan kiri juga perlu mempunyai kebolehan dari segi menjaga posisi yang amat penting semasa bertahan selain mempunyai kebolehan membuat tackle yang bersih.

Ramai pemain pertahanan kiri dan kanan terdiri dari pemain yang bertubuh kecil tetapi cukup tegap untuk membuat body contact. Antara pemain yang terkenal adalah Roberto Carlos dari pasukan Brazil, Gael Clichy dari pasukan Perancis, Patrice Evra juga dari pasukan Perancis dan Ashley Cole dari Pasukan England yang kesemuanya adalah pemain pertahanan kiri yang cukup dikenali kerana kebolehan mereka dalam membuat serangan. Manakala Sergia Ramos dari pasukan Sepanyol adalah pertahanan kanan yang sedang meningkat prestasinya diperingkat kelab dan dunia.

Bahagian tengah selalunya dimainkan dengan barisan pemain 2 pemain tengah menyerang atau sayap kiri dan kanan dan 2 pemain tengah yang selalunya terdiri dari seorang pemain tengah bertahan dan seorang pemain tengah menyerang. Formasi tengah dengan susunan pemain sebegini lebih dikenali dengan formasi tengah bentuk berlian (diamond shape).

Pemain tengah bertahan akan bertindak melindungi 4 barisan pertahanan dan selalunya beliau dilihat lebih kepada seorang stopper dalam formasi pertahanan flat. Tugas pemain ini adalah merebut bola dari pihak lawan dalam keadaan bertahan dan memulakan serangan setelah bola berjaya dirampas. Beliau juga adalah merupakan seorang anchor yang akan banyak bergerak di bahagian tengah dan kebawah dan amat jarang naik ke atas untuk menyerang. Oleh itu pemain yang sesuai untuk posisi ini adalah mereka yang mempunyai kebolehan membaca permainan, keupayaan marking dan merebut bola yang tinggi, mempunyai komitmen untuk bekerja keras, mempunyai stamina yang tinggi dan cukup bijak memecahkan serangan lawan dengan membuat pintasan hantaran bola.

Antara pemain terbaik dunia diposisi ini ketika ini adalah Claude Makelele dan Patrick Viera dari pasukan Perancis, Michael Essien dari pasukan Ghana, Owen Hargreaves dari pasukan England dan pemain muda Fernando Gago dari pasukan Argentina yang sedang meningkat naik. Namun Lothar Matheus dari pasukan German sekitar tahun 80-90an adalah pemain tengah bertahan yang juga dikenali sebagai libero antara yang terbaik zamannya.

Dalam formasi berlian, seorang lagi pemain tengah akan bertindak sebagai pemain tengah menyerang bagi membantu 2 penyerang tengah. Tugasnya lebih kepada memberi sokongan di belakang 2 penyerang tengah tersebut. Namun tugas yang lebih penting adalah menggerakkan bahagian tengah dan mengatur serangan. Fungsi pemain ini seakan-akan seorang pelayan direstoran yang bertindak mengambil pesanan, menghantar pesanan dan memastikan makanan dihantar ke meja yang betul.

Oleh itu pemain ini hendaklah terdiri daipada pemain yang mempunyai keupayaan membuat hantaran tepat, kebolehan mengawal bola, mempunyai kreativiti yang tinggi untuk merancang serangan, mempunyai stamina yang tinggi, kebolehan membaca pergerakan rakan sepasukan terutamanya penyerang dan kebolehan melihat ruang kosong yang tidak dikawal oleh pertahanan lawan. Antara yang terbaik ketika ini adalah Cesc Fabregas dari pasukan Sepanyol, Frank Lampard dari pasukan England, Bernd Schneider dan Sebastian Schweintiger dari pasukan German, Kaka dan Ronaldinho dari pasukan Brazil, Francesco Totti dari Itali dan Lionel Messi dari pasukan Argentina.

Manakala tugas pemain tengah kiri dan kanan atau sayap adalah mereka yang mempunyai kebolehan membuat larian pantas, kebolehan menggelecek bola dan kebolehan membuat hantaran lintang. Antara yang terbaik diposisi ini adalah Joe Cole dan Wright-Phillips dari pasukan England, Ryan Giggs dari pasukan Wales, Cristiano Ronaldo dari pasukan Portugal, Franc Ribery dari Perancis dan pemain muda yang mula mendapat perhatian Arsene Wenger, Diego Capel dari pasukan Sepanyol.

Manakala tugas penyerang tengah selalunya dimainkan oleh 2 orang yang boleh terdiri dari seorang penyerang pantas dan seorang penyerang yang menggalas tugas ball holder dalam serangan balas. Ball holder merujuk kepada penyerang tengah yang mempunyai kemahiran mengawal bola, selalunya berbadan tegap, mempunyai sedikit kreativiti dan hantaran yang baik. Contohnya, Andrei Schevchenko dari Ukraine, Wayne Rooney dari England dan Didier Drogba dari Ivory Coast. Selain itu, pemain ini juga berkemampuan untuk menjaringkan gol.

Manakala seorang lagi penyerang akan bertindak sebagai pembuka ruang dan apabila peluang terhidang, membuat percubaan untuk menjaringkan gol dari apa jua situasi. pergerakannya selalunya di sekitar kotak penalti. Penyerang sebegini selalunya mempunyai kepantasan, kemahiran menggelecek bola, mempunyai kemampuan membuat percubaan tepat dari kedua-dua belah kaki dan kepala dan punyai naluri seorang penyerang. Sebagai contoh, Fernando Torres dari Sepanyol, Ruud Van Nistelrooy dari Belanda dan Inzaghi dari Italy. Michael Owen pernah dilabel sebagai antara penyerang terbaik dunia sebelum beliau dilanda masalah kecederaan yang menjejaskan prestasinya.

Bahagian tengah formasi 442 juga boleh dimainkan dengan 2 orang pemain tengah yang serba boleh seperti Steven Gerrard dari England atau Michael Ballack dari German yang mempunyai kebolehan untuk bertahan atau menyerang. Tidak ramai pemain seperti mereka dalam dunia yang boleh dianggap sebagai pemain tengah paling lengkap.

Jika salah seorang pemain ini berada dalam satu-satu pasukan, pasukan tersebut tidak akan mempunyai masalah untuk menggunakan pemain sayap yang akan bergerak di bahagian tepi (wide player) menggunakan keluasan padang dengan maksimum. Ini kerana pemain tengah ini mempunyai kebolehan untuk mengawal kawasan yang lebih luas yang ditinggalkan oleh pemain sayapnya. Biasanya pasukan yang menurunkan pemain seperti ini akan menumpukan lebih banyak hantaran lintang dari kiri dan kanan oleh pemain sayap mereka.

Bergantung kepada taktik dan situasi, formasi 442 boleh dipelbagaikan. Dalam taktik menyerang, 5 atau 7 orang pemain akan bertindak membuat serangan dan bergerak di separuh padang pihak lawan. Manakala dalam taktik bertahan, 5 atau 7 orang akan menggalas tugas bertahan di separuh padang sendiri. Jika dalam taktik bertahan sepenuhnya, seramai 8 orang pemain akan berkubu di kawasan sendiri dengan membiarkan seorang penyerang ball holder berlegar-legar di bahagian tengah padang.

Dalam sistem permainan bola sepak moden, formasi 442 dengan taktik menyerang seperti kelab Arsenal akan menggunakan pemain pertahanan yang akan turut bertindak sebagai pemain sayap di kiri dan kanan. Pemain ini akan membuat larian overlapping bagi membantu pemain tengah kiri dan kanan dan membuat hantaran lintang. Bacary Sagna dan Gael Clichy adalah 2 pemain pertahanan yang dimaksudkan.

Di bahagian tengah, Cesc Fabregas akan bertindak sebagai pemain tengah menyerang sambil dibantu oleh Mathieu Flamini, Alex Hleb dan Tomas Rosicky atau Abu Diaby atau Gilberto. Mereka tidak menggunakan pemain sayap yang bergerak dari bahagian tengah seperti Joe Cole di Chelsea atau Cristiano Ronaldo di Man U. Apabila menyerang, 2 pemain pertahanan ini akan membuat larian dari bawah manakala 4 pemain di bahagian tengah akan bergerak sedikit ke tengah dan bertindak mengawal kawasan tengah membentuk seakan-akan kepungan. Hantaran lintang akan disasarkan kepada Adebayor yang mempunyai kemampuan menanduk dan kelebihan faktor ketinggian. Manakala seorang lagi penyerang, Eduardo akan berlegar-legar di dalam kotak penalti menanti peluang untuk membuat jaringan.

Dalam struktur formasi 442 kelab Man U pula, Cristiano Ronaldo akan bertindak sebagai sayap kiri atau kanan. Bergantung kepada pemain tengah yang diturunkan, beliau boleh juga ditugaskan untuk bergerak di bahagian tepi kiri atau kanan menggunakan keluasan padang secara maksimum. Park Ji Sung atau Nani atau Ryan Giggs juga akan digalaskan tugas yang sama. Bahagian tengah akan diisi oleh kombinasi Carrick atau Scholes atau Fletcher atau Hargreaves. Jika Hargreaves diturunkan, maka Scholes atau Carrick atau Fletcher akan bergerak lebih ke bahagian hadapan kerana Hargreaves akan bertindak sebagai pemain tengah bertahan yang mengawal 1/3 padang di bahagian bawah dan Ronaldo dan Nani atau Ji Sung akan lebih banyak bergerak di bahagian tepi menggunakan maksimum keluasan padang.

Jika Hargreaves tidak diturunkan, Ronaldo, Nani atau Ji Sung akan bergerak ke bahagian tengah sedikit bagi membantu mengisi ruang yang tidak dapat dikawal oleh gandingan Scholes dan Carrick atau Fletcher.

Tinggalkan komen

Filed under Lain-lain, My story

Tinggalkan komen