Pasca Euro 2008

Sudah agak lama aku tak menulis suatu apa pun di dalam blog ni. Mungkin bahana keputusan pilihanraya Mac lalu telah membuatkan aku dalam keadaan agak terkejut. Ditambah dengan suasana kejohanan Euro 2008 yang menyaksikan pasukan Sepanyol menjuarai kejohanan setelah menewaskan Jerman, pasukan yang aku jangkakan akan menjadi juara.

Jerman sememangnya mempunyai pemain berkualiti di setiap posisi dan sebuah pasukan yang mempunyai mentaliti kuat untuk muncul sebagai juara. Akan tetapi Sepanyol lebih menunjukkan semangat kejuaraan disokong oleh corak permainan paling menarik dan efektif di atas padang. Aku pada mulanya menjangkakan pasukan Sepanyol hanya akan bertahan sehingga peringkat suku akhir. Tetapi di bawah kendalian Luis Aragones, pasukan yang memiliki begitu ramai pemain bintang itu terus mara dan muncul juara dengan rekod tidak pernah kalah di sepanjang kejohanan. Pemain paling menyerlah dalam pasukan tersebut adalah David Villa. Manakala kemampuan Cesc Fabregas tidak dieksploit sepenuhnya sepanjang kejohanan.

Jurulatih paling hebat kejohanan, pada pendapat aku adalah Guus Hiddink yang membimbing pasukan Rusia hingga ke separuh akhir. Walaupun berjaya mengatasi taktik dan strategi jurulatih mentah Marco Van Basten menewaskan pasukan Belanda, Rusia tetap gagal mengatasi corak permainan pasukan Sepanyol. Pada perlawanan menentang Sepanyol diperingkat kumpulan, Rusia nampak begitu kreatif dan bersemangat melakukan serangan. Akan tetapi pada pendapat aku, taktik srangan terbuka sedemikian hanya mengundang padah jika lawannya adalah pasukan Sepanyol. Rata-rata pemain Rusia tidak mempunyai pengalaman luas di pentas Eropah berbanding pemain Sepanyol. Kebanyakan pemain Rusia hanya bermain di liga Rusia sendiri. Namun, pujian harus diberi kepada Guus Hiddink yang memberikan pendedahan taktik dan strategi permainan yang sangat efektif kepada pasukan Rusia. Cara beliau menerapkan strategi permainan dalam pasukan Rusia seolah-olah beliau berkata ‘inilah taktik dan caranya jika anda mahu kekal kompetitif di pentas Euro 2008’ dan para pemain Rusia begitu berdisiplin dengannya.

Pujian juga harus diberi kepada pasukan pantang maut sebelum ajal, Turki. Di sepanjang kejohanan, pasukan Turki tidak pernah berpeluang menurunkan kesebelasan pemain yang sama untuk setiap perlawanan. Ini menjadikan sesuatu yang sukar buat Fatih Terim untuk melihat dan menilai prestasi para pemainnya. Namun adalah kurang bijak untuk sesebuah pasukan menyediakan hanya sebelas orang pemain hebat sahaja di dalam kejohanan besar seperti Euro 2008. Oleh sebab itu Fatih Terim dilihat sebagai seorang jurulatih yang bukan saja hebat mengatur strategi, malah seorang pemberi motivasi yang agak hebat. Pada ketika pasukannya dilanda masalah kecederaan dan penggantungan pemain, beliau terpaksa mengerahkan pemain yang ada untuk bermain di posisi yang berlainan. Malah beliau juga terpaksa bergantung kepada penjaga gol veteran era kejohanan Piala Dunia 2002, Rüştü Reçber. Tetapi semangat melawan yang ada di dalam pasukan Turki menyaksikan pasukan tersebut mengatasi lawannya pada saat-saat akhir permainan walaupun tampak seakan tewas.

Seperti biasa, setiap kali satu-satu kejohanan besar berakhir, akan ada berita mengenai perpindahan pemain-pemain dari pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan. Cristiano Ronaldo hampir pasti menyertai Real Madrid setelah dipancing berkali-kali. Bergantung kepada Sir Alex, gula-gula apakah yang bakal diberikan untuk memastikan pemain hebat tersebut tidak berpindah keluar. Samir Naseri, pemain tengah berbakat pasukan Perancis sudah pun diperingkat akhir transaksi perpindahannya ke Arsenal. David Villa pula sedang dipancing oleh kelab-kelab besar Eropah. Tetapi harga yang begitu mahal diletakkan oleh Valencia mematahkan hasrat kelab-kelab tersebut. Manakala penyerang kreatif Rusia Andrei Arshavin juga mengintai peluang untuk ke kelab-kelab besar Eropah.

Nampaknya industri bola sepak Eropah tidak begitu terjejas dengan krisis ekonomi dunia yang sedang berlaku pada ketika ini. Harga minyak mentah berada di paras yang begitu tinggi disebabkan spekulator , ketidaktentuan suasana di Teluk dan permintaan yang begitu tinggi. Dunia juga mengalami krisis makanan yang agak serius disebabkan oleh permintaan lebih tinggi bahan asas makanan untuk industri biodiesel. Tetapi industri bola sepak Eropah terus berkembang dengan yuran perpindahan pemain yang semakin mahal dan tuntutan gaji mingguan para pemain juga semakin meningkat terutamanya di kelab-kelab besar. Bayaran 100,000-00 pound seminggu untuk pemain-pemain ternama Eropah seperti Cristiano Ronaldo, Ronaldinho, Frank Lampard, Steven Gerrard, Thiery Henry dan beberapa pemain lain membuatkan kita dan majoriti penduduk dunia hanya mampu menelan air liur. Sudah pasti mereka ini tidak terjejas oleh krisis ekonomi dunia yang melanda pada ketika ini. Apalah sangat kenaikan harga minyak mentah pada mereka dibandingkan dengan gaji bersih yang mereka terima setiap bulan.

Tinggalkan komen

Filed under Berita Bola, Review

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s