Dunia Bola Sepak Aku Part IX

Aku sangat jarang menonton perlawanan bola sepak tempatan samada peringkat Liga M mahupun Piala Malaysia mahupun Liga yang lebih kecil dari itu. Kenapa? Ada banyak faktor. Yang paling utama bagi aku, kurang menghiburkan.

Aku pernah menonton secara langsung di stadium beberapa perlawanan Liga M yang melibatkan Johor atau Johor FC. Juga 2 kali perlawanan akhir Piala Malaysia di stadium Bukit Jalil. Ketika Perak menentang Trengganu dan ketika Selangor menentang pasukan yang aku pun dah tak ingat. Juga beberapa perlawanan Liga M di Stadium Shah Alam yang melibatkan Selangor. Jangan salah sangka, aku bukanlah penyokong fanatik Merah Kuning.

Aku masih ingat ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil di antara Trengganu menentang Perak. Suasana perlawanan akhir begitu dirasai dengan penyokong kedua-dua pasukan kelihatan membanjiri Stadium sejak awal petang lagi. Aku tidak memihak kepada mana-mana pasukan ketika itu dan mengenakan jersey Man U keluaran lama. Turut bersama aku ketika itu adalah seorang rakan yang berasal dari Trengganu, Wan Rosli dan seorang rakan yang asal usul nenek moyangnya dari Perak tetapi menetap di Melaka, Nizam. Juga 3 lagi rakan yang neutral, seorang penyokong fanatik Merah Kuning, Ekhwan, seorang dari Sabah, Safrin dan seorang lagi penyokong Kedah, Shahril. Ada lagi yang tertinggal ke? Aku pun dah tak ingat.

Kami hadir seawal pukul 3.30 petang untuk membeli tiket dan agak terkejut juga bila mengetahui tiket telah habis dijual pada pukul 4.30 petang menyebabkan ramai yang berkampung di luar stadium. Tapi setelah diamati, tiket telah habis disimpan oleh ulat pasaran gelap yang akan menjualkannya semula pada harga yang lebih tinggi. Aku pernah terkena satu ketika dulu ketika menonton perlawanan di antara Selangor menentang Kelantan.

Di luar Stadium, terdapat begitu banyak gerai yang menjual barangan cenderamata yang berasaskan pasukan Perak dan Trengganu. Seolah-olah pesta dan mengingatkan aku kepada suasana yang biasa ditonton di TV dalam perlawanan-perlawanan EPL. Penyokong kedua-dua pasukan mengenakan baju hitam putih bagi Trengganu dan kuning hitam bagi Perak. Rakan aku pun tak terkecuali, mengenakan jersey Newcastle dan sempat membeli satu kain ikat kepala dan satu kain lilit leher sebelum perlawanan berlangsung.

Suasana lebih terasa setengah jam sebelum sepak mula. Sebelumnya, kami menunaikan solat maghrib terlebih dahulu sebelum masuk ke stadium. Dari luar kedengaran gegak gempita sorakan penyokong kedua-dua pasukan yang memenuhi stadium yang boleh memuatkan sehingga 95 ribu orang. Lebih besar dari Old Trafford, hampir sebesar Nou Camp. Gema sorakan menggegar lagi bila nama-nama pemain diumumkan.

Di dalam stadium, lautan manusia dilihat memenuhi ruang di bahagian yang menghadap tengah padang sehingga ke tingkat paling atas. Masih terdapat tempat duduk kosong di bahagian pintu gol dan Grand Stand. Aku rasa jumlah penonton mungkin mencapai 60 ribu orang. Kami duduk di kawasan yang kami rasakan penonton neutral berdekatan dengan Grand Stand kerana tidak mahu terlibat jika apa-apa perkara buruk berlaku. Pada pengamatan aku, terdapat lebih kurang 5 ribu atau mungkin lebih penyokong neutral di kawasan tempat duduk kami. Selainnya, lautan hitam putih dan yang paling ramai kuning hitam.

Kawasan Grand Stand dan VIP lebih tenang suasananya. Kawasan marhain, seakan terbelah bumi dek gegak gempita sorakan penyokong pasukan masing-masing.

Itu pengalaman aku di perlawanan akhir Piala Malaysia.

Sewaktu Johor FC gah satu ketika dulu di persada liga, aku turut rajin ke Stadium Pasir Gudang setiap kali perlawanan liga berlangsung. Johor FC hanyalah pasukan peringkat kelab yang ditaja oleh syarikat korporat Johor Corp, tetapi berjaya menarik penonton untuk memenuhi stadium yang kecil. Setiap kali perlawanan berlangsung, stadium yang hanya boleh memuatkan 11 ribu orang, penuh. Aku sendiri beberapa kali terpaksa mendapatkan tiket dari ulat hinggakan akhirnya aku bertindak menghubungi rakan dari kerajaan negeri untuk mendapatkan tiket VIP percuma.

Itu sewaktu Johor FC di kemuncak prestasi. Bila prestasi semakin menurun, penonton mula kurang. Akhirnya hanya peminat setia saja yang sudi membuang RM10 untuk menonton perlawanan yang semakin tidak menarik. Aku pun macam tu juga. Pada aku lebih baik aku duduk di padang Seri Gelam setiap petang menyaksikan perlawanan peringkat liga kecilan dari membuang duit hadir ke perlawanan yang membosankan. Mutu perlawanan juga hampir sama. Padang Seri Gelam tidak mengenakan apa-apa bayaran.

Kesimpulannya, di liga tempatan, penyokong hanya akan hadir ke stadium jika pasukan yang mereka sokong berada dikemuncak prestasi, bermain dengan baik dan menghiburkan. Jika sebaliknya, mereka lebih rela menyelak akhbar saja keesokan harinya untuk mengetahui keputusan semalam. Yang penting, menghiburkan.

Suasana di EPL, La Liga dan lain-lain di luar negara, amat berbeza. Kelab yang mereka sokong selalunya mempamerkan perlawanan yang menghiburkan kerana itulah sebab utama penonton hadir ke stadium. Mereka dahagakan hiburan. Ditambah dengan faktor iklim yang tidak mengizinkan mereka untuk membuat lebih banyak aktiviti luaran selain menonton bola sepak di stadium. Sampaikan perlawanan yang melibatkan kelab liga bawahan juga mampu menarik sejumlah 10 ribu penonton.

Malaysia? Hanya perlawanan akhir saja yang mampu menarik penonton ke stadium dalam jumlah yang besar. Di peringkat liga, hanya bila pasukan negeri atau kelab memenangi perlawanan di tempat sendiri dan terus menang, barulah penonton sudi hadir ke stadium. Jika tidak, alamat ‘baik aku dok rumah tengok EPL, lagi bagus’ la jawabnya.

Mentaliti penonton tempatan juga antara faktor yang mempengaruhi kehadiran mereka ke stadium. Rata-rata penonton, bukanlah penyokong setia dan fanatik pasukan mereka. Hanya segelintir saja yang betul-betul setia dan fanatik hinggakan sanggup bersama-sama pasukan hadir ke stadium memberikan sokongan walau di tempat lawan dan walau pasukan mereka tewas. Yang lainnya, hanya apabila pasukan mereka berada di puncak liga barulah mereka hadir memberikan sokongan. Jika prestasi merudum, stadium kembali lengang. Ini adalah antara penyebab mengapa pasukan-pasukan negeri dan kelab sukar mendapatkan penaja.

Adat penaja, mereka mahukan jenama mereka dilihat oleh seberapa ramai orang yang boleh. Untuk sejumlah belanja yang dikeluarkan, adalah wajar untuk mereka mensasarkan jenama mereka dilihat oleh beberapa ribu penonton yang hadir ke stadium. Jika tidak untuk apa mereka mengeluarkan belanja yang besar jika kehadiran ke stadium hanya sekadar beberapa ratus orang? Adalah lebih baik mereka membelanjakan jumlah yang sama untuk iklan TV selama beberapa saat di slot rancangan yang mampu menarik rating penonton yang tinggi.

Walau apa pun, ini cuma pendapat aku. Pihak pengurusan pasukan negeri dan kelab lebih layak dari aku untuk berusaha meningkatkan prestasi pasukan dari segala segi, bukan hanya mutu permainan tapi juga meliputi pemasaran dan lain-lain tanpa sekadar melengkapkan kuota perlawanan dan seterusnya mengharapkan peruntukkan dari badan induk FAM untuk menampung perbelanjaan semusim mereka.

Tinggalkan komen

Filed under My story

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s